June 01, 2011

Dakwah Bertukar Fitnah




Kini, rata-rata individu apabila ditanya apakah ia konspirasi, mereka akan menjawab illuminati, freemason dan the arrivals. Demikian adalah nama-nama yang sering dikaitkan dengan konspirasi akhir zaman. Ya, kita sedar bahawa masyarakat Malaysia, Singapura dan Indonesia sudah mula terkejut dan celik dari tidur  dengan kehadiran entiti ini di dalam dunia kita. Untuk mengatakan kumpulan-kumpulan rahsia ini tidak ada dan ia adalah rekaan semata-mata, amat sukar untuk saya katakan ya. Dan Alhamdulillah ia mula disedari masyarakat dunia. 


Tetapi, kebelakangan ini, berbeza ceritanya di Malaysia. cerita-cerita seperti ini mula tersebar dikalangan masyarakat dengan mesej-mesej yang pelik, kelihatan bodoh dan obses individu itu untuk mengaitkan sebarang persamaan dengan gerakan ini serta tidak ketinggalan dengan mesej-mesej seolah berbentuk ugutan. Contohnya seperti berikut:
1. Kelihatan Bodoh
Apabila Upin dan Ipin dikatakan terjebak dalam konspirasi Illuminati dan Freemason. Kadang-kadang saya tergelak bingung apabila mesej yang ingin disampaikan Upin dan Ipin dalam slot ceritanya membawa kepada pendidikan moral dan sakhsiah yang tinggi seperti berlajar berpuasa, menghormati kaum lain dan menyayangi haiwan juga adalah hasil ajaran Illuminati dan Freemason. Sedikit lucu. kehilangan modal untuk mengaitkan jalan cerita Upin dan Ipin dengan konspirasi ini, mereka mentakwil nama Upin dan Ipin sehingga ia kelihatan mirip dengan gerakan sulit ini.


2. Obses
Ramai pembaca yang masuk ke blog ini memberi komentar dan berharap agar saya menyiarkan hasil 'kajian' mereka di dalam blog ini yang dihantar melalui e-mel. Apa yang saya lihat, rata-rata isi kajian mereka terlalu jauh untuk menyedarkan manusia untuk kembali kepada Islam tetapi memperlihatkan obsesnya mereka dalam 'kajian' mereka. Saya mula gusar kalau-kalau, sebaran saya satu ketika dahulu berkenaan Illuminati dan lain-lain menjadi fitnah terhadap sekeliling isu ini. Kerana apa? ada pembaca yang mengaitkan apa sahaja simbol yang nampak mirip dan seakan-akan dengan kumpulan Illuminati. Contohnya logo Universiti Malaysia Terengganu dan logo Majlis Amanah Rakyat (MARA). Mungkin mereka seronok dengan permainan puzzle mereka sehingga obses mereka mengelirukan ramai pihak. Tidak ketinggalan, logo-logo kedai cermin mata dan optometrist yang kebiasaannya akan meletakkan logo mata pun dikaitkan dengan Illuminati. Kasihan Ustaz Haji Hamidun pemilik kedai Hamidun Optometrist juga terlibat dalam usahasama dengan Illuminati. 

3. Mesej-mesej ugutan
Tidak ketinggalan juga, mesej-mesej mirip ugut-ugutan diselitkan ketika teori konspirasi hasil kajian mereka disebar melalui emel-emel, facebook dan laman-laman sosial lain. "Jika anda seorang muslim, anda wajib menyebarkan berita ini""jika anda sayangkan Islam, sebarkanlah mesej ini" dan pelbagai lagi kuotasi-kuotasi yang saya kira ia mirip ugutan dan pemerasan dan paksaan terhormat. Mereka yang kurang ilmu pengetahuan akan mengatakan, "eh betul lah, kena sebarkan ni" dan percaya 100% seterusnya menyebarkan berita tersebut. Kesian si Upin dan Ipin. Yang sangat memalukan dan mencipta suasana fitnah, kajian-kajian memalukan mereka ini dibawa atas nama Agama Islam.

Cukuplah untuk anda terus mewujudkan suasana haru di dalam masyarakat kita, lihatlah komuniti maya, hasil dari tersebarnya cerita-cerita kurang siuman konspirasi mereka, wujud pula mereka yang menolak mentah-mentah kewujudan entiti bahaya itu di dunia ini. Ada juga yang mentertawakan dan mengeluarkan ejekan ejekan kesat kepada penulis-penulis ikhlas yang lain. Mungkin mereka banyak terkesan dengan apa yang blog ini sampaikan berkenaan AJL24 tahun lepas, tetapi apa yang pasti, program itu punya unsur-unsur maksiat yang memang perlu ditolak juga ideanya sendiri diambil dari holywood walaupun tidak secara langsung. Dengan ini, tidak bermaksud untuk anda menggunakan modus operandi yang sama untuk mengaitkan sebarang perkara tanpa kaji selidik mendalam dahulu. 
The Arrivals pula, ia bukanlah bahan utama untuk dijadikan rujukan semua dari kita dalam mendasari isu Illuminati dan lain-lain. Cukuplah ia sebagai membantu kita memahami situasi dunia sekarang. Saya secara personal tidak berapa bersetuju dengan beberapa topik yang dibawakan dalam siri itu. Lebih-lebih lagi dalam menghuraikan berkenaan Imam Mahdi adalah imam ke-12 yang akan keluar merobohkan tiang-tiang kezaliman. Ini sedikit berbeza dengan akidah yang dibawa oleh ajaran kita dan ajaran syiah. Walaubagaimana pun, saya berpesan agar kalian bisa membezakan yang benar dan yang salah. Kerana itulah, saya sangat-sangat mementing perkara-perkara ini sebelum mereka mengkaji dan menelan bulat-bulat:

1. Aqidah Yang Jelas
Aqidah Islam adalah teras penting. Ini untuk kita benar-benar jelas perbezaan Islam dengan yang bukan Islam. Selain itu, ia adalah jatidiri penting untuk kita punya stand atau pendirian tegas dalam melakukan kajian-kajian bersifat komperatif. Jika kita tidak punya kekuatan dalam penguasaan aqidah dan perbezaan antara aqidah Islam, firaq-firaq seperti syiah, Ibadhiyyah, Khawarij, Qadariah, Murjiah, Asyairah, Maturidiyah juga agama-agama lain dari sudut kefahaman dan iktikad mereka berkenaan ketuhanan, adalah sebaiknya untuk kita perkukuhkan yang ini dahulu. Ini untuk kita tahu yang mana menyeleweng dan yang mana yang benar. Syiah pun masih tidak mengerti, masakan ingin mengkaji konspirasi yang lebih besar? Ini sangat penting kerana aqidah adalah soal Usul.

2. Ilmu Alat 
Ilmu alat adalah ilmu-ilmu asas yang diperlukan untuk memahami cabang-cabang ilmu Islam yang lain. Antaranya ialah Usul al-Din, Usul Fiqh dan Bahasa Arab iaitu Nahu dan Saraf (tatabahasa Bahasa Arab) ilmu ini penting sebagai bantuan bagi setiap individu memahami Islam dengan efektif. 
3. Ilmu Tafsir
Bidang ini sangat berkait rapat dengan pentafsiran dan penghuraian ayat-ayat al-Quran. Bercakap berkenaan ilmu tafsir ini, ia bukanlah ilmu yang sembarangan bahkan ia memerlukan keahlian dan kepakaran. Ini kerana kita dilarang mentafsir ayat-ayat al-Quran mengikut kehendak kita sendiri tetapi apa yang penting ialah merujuk kepada pakar-pakar tafir, antaranya seperti al-Thabari, Ibn Kathir, al-Qurtubi, al-Baghawi, al-Alusi dan lain-lain lagi. Ini kerana ada mereka-mereka yang terlalu obses seperti yang saya katakan tadi, dalam pemerhatian saya sesuka hati mentafsirkan ayat al-Quran supaya ia selari dengan kajian mereka. Sebagai contoh kesalahan dalam mentafsir ayat al-Quran: 

حَتَّى إِذَا بَلَغَ بَيْنَ السَّدَّيْنِ وَجَدَ مِنْ دُونِهِمَا قَوْمًا لَا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ قَوْلًا, قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَى أَنْ تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا , قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا , آَتُونِي زُبَرَ الْحَدِيدِ حَتَّى إِذَا سَاوَى بَيْنَ الصَّدَفَيْنِ قَالَ انْفُخُوا حَتَّى إِذَا جَعَلَهُ نَارًا قَالَ آَتُونِي أُفْرِغْ عَلَيْهِ قِطْرًا
Bermaksud:  Hingga apabila dia telah sampai di antara dua buah gunung, dia mendapati di hadapan kedua bukit itu suatu kaum yang hampir tidak mengerti pembicaraan, Mereka berkata: "Hai Dzulkarnain, sesungguhnya Ya'juj dan Ma'juj itu orang-orang yang membuat kerusakan di muka bumi, maka dapatkah kami memberikan sesuatu pembayaran kepadamu, supaya kamu membuat dinding antara kami dan mereka?". Dzulkarnain berkata: "Apa yang telah dikuasakan oleh Tuhanku kepadaku terhadapnya adalah lebih baik, maka tolonglah aku dengan kekuatan (manusia dan alat-alat), agar aku membuatkan dinding antara kamu dan mereka, berilah aku potongan-potongan besi." Hingga apabila besi itu telah sama rata dengan kedua (puncak) gunung itu, berkatalah Dzulkarnain: "Tiuplah (api itu)." Hingga apabila besi itu sudah menjadi (merah seperti) api, diapun berkata: "Berilah aku tembaga (yang mendidih) agar aku kutuangkan ke atas besi panas itu."
Surah al-Kahfi: 93-96
Ayat ini menceritakan berkenaan suatu kaum yang Dzulqarnain tidak mengerti bahasa pertuturannya meminta bantuan untuk menyelamatkan mereka dari yakjuj dan makjuj. Dzulqarnain dengan bantuan penterjemah akhirnya membantu kaum tersebut dan berharap agar kaum itu turut bekerjasama dalam membina tembok antara mereka dengan yakjuj dan makjuj tersebut. Dzulqarnain menyuruh untuk api itu ditiup sehingga besi-besi itu lebur dan dan menjadi merah. 

Ada yang kurang ilmunya berkenaan pentafsiran ayat ini mentafsirkan bahawa yang meniup itu adalah seekor naga hasil dari arahan Dzulqarnain. Sebenarnya mereka ingin mengaitkan kewujudan naga sebagai makhluk bantuan dari timur nusantara yang dikatakan panji-panji hitam dari ufuk timur dalam peperangan akhir zaman dengan tentera yahudi. Akhirnya dikaitkan ayat al-Quran ini dengan menafsirkan ayat tersebut dengan tanpa merujuk kepada ahli tafsir terlebih dahulu dalam menghuraikan ayat tersebut. Bagi saya, Dzulkarnain itu sendiri tidak mengerti bahasa yang dituturkan oleh bangsa yang meminta bantuan tersebut yang mana bangsa itu manusia, mana mungkin beliau boleh berinteraksi dengan haiwan seperti naga yang kewujudannya pun hanya satu mitos?
Berhati-hatilah. Amat berdosa sesiapa yang mentafsirkan ayat-ayat al-Quran dengan tafsirannya sendiri. Rasulullah s.a.w bersabda:

حَدَّثَنَا مَحْمُودُ بْنُ غَيْلاَنَ حَدَّثَنَا بِشْرُ بْنُ السَّرِىِّ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ عَنْ عَبْدِ الأَعْلَى عَنْ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رضى الله عنهما قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « مَنْ قَالَ فِى الْقُرْآنِ بِغَيْرِ عِلْمٍ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Bermaksud: Sesiapa yang bercakap berkenaan al-Quran tanpa ilmu, maka dia telah menyediakan bangkunya di dalam neraka. (hadis berstatus hasan sahih oleh sebahagian ulama hadith)

4.Ilmu Hadith
Imu hadith merupakan ilmu yang sangat penting kerana ia sekitar ilmu yang meriwayatkan kata-kata nabi Muhammad s.a.w. Kita sedia maklum bahawa hadith adalah sumber ke-2 terpenting umat Islam sebagai sumber pengambilan dalil. Sudah tentulah ilmu ini perlu dikuasai oleh mereka yang ingin mengkaji konspirasi yang lebih besar. Diantara yang termasuk dalam ilmu ini ialah, Usul Hadith, Ilmu Jarh wa al-Ta'dil, Ilmu Rijal, dan lain-lain lagi. Ini untuk memastikan kita boleh pasti hadith-hadith yang sampai kepada masyarakat benar-benar autentik yang bersih dari sebarang kecacatan sama ada dari sudut jalan periwayatan dan matan atau lafaz hadith tersebut. 

Tanpa penguasaan ilmu ini, seseorang itu akan lebih bermudah-mudah untuk mengatakan hadith ini dan hadith itu. Mereka yang melakukan kajian berkenaan Illuminati dan fitnah akhir zaman ini, banyak pula terdedah dengan hadith-hadith akhir zaman, antaranya berkenaan penceritaan berkenaan Imam Mahdi. Terdapat sebilangan pengkaji terlalu mudah untuk meletakkan hadith yang tidak ada asal usul dan palsu untuk menguatkan hujjah mereka dan menceritakan berkenaan akhir zaman. Perlu di ingat, cerita akhir zaman adalah cerita ghaibiyyah yang belum terjadi dan ia termasuk dalam bab aqidah dan kepercayaan. Seharusnya kita lebih berhati-hati dalam soal ini kerana dikhuatiri ia juga boleh merosakkan kepercayaan dan iktikad kita. Ingat, hadis berkenaan Imam Mahdi telah banyak dipalsukan oleh Agama Syiah yang bagi mereka, Imam Mahdi adalah Imam ke 12 yang masih ditunggu. Begitu juga berkenaan hadith-hadith Panji Hitam, perlu diberi perhatian pengkajian statusnya. Wallahu A'lam. 

5. Sejarah Islam dan Dunia
Sejarah juga perlu dikuasai oleh mereka yang ingin mengkaji berkenaan pelbagai konspirasi yang berlaku hari ini. Yang paling penting, kita harus jelas berkenaan sejarah Islam dan sejarah-sejarah yang berlaku di zaman Islam selain sejarah terjadinya pecahan-pecahan kumpulan di dalam Islam (firaq-firaq di dalam Islam). Ini kerana sejarah ini sangat berkait rapat dan saling perlu memerlukan dengan kita hari ini. Dalam konteks mudah, apa yang terjadi hari ini, ada kaitannya dengan sejarah lampau. Penciptaan Order baru dunia juga ada kaitannya dengan sejarah penciptaan ideologi sama ada ia berasal dari dalam Islam mahu luar Islam. Selain sejarah Islam, sejarah lain juga diperlukan untuk mengukuhkan ilmu yang sedia ada. Sebagai contoh, fitnah yang disebarkan oleh orientalis dalam gerakan menjatuhkan dakwah sunnah yang dibawa oleh tokoh-tokoh mujaddid, kehadiran idealisme yang pelbagai seperti liberalism, pluralism, kapitalisme, fahaman Karl Marx, demokrasi dan lain-lain.  

Ini adalah sedikit nasihat yang saya lahirkan setelah melihat dakwah yang kita jalankan bertukar fitnah yang digelak ketawakan. Kepada pengkaji-pengkaji lain, saya menyeru agar kita jelas dahulu yang berkenaan sejarah Islam dan sejarah perpecahan Umat Islam kepada mazhab-mazhab aqidah yang baru, barulah kita membawa isu-isu konspirasi yang lebih kontemporari yang berlaku hari ini. 

Selain itu, kita bukanlah umat yang bacul dan takut pada simbol mereka. Jika kita takut, ini bermakna kita sudah hilang jatidiri muslim dan ruh Islam itu sudah semakin tipis ditelan kemaksiatan. Hari ini, kita perlu bangkit untuk membetulkan umat Islam dengan aqidah yang luhur seperti yang dicontohi oleh Rasulullah dan sahabatnya, bersatu membina semua empayar Islam berasaskan kefahaman umatnya yang faham apa itu Islam, bukan hanya berbangga dengan andalusnya sahaja. Kita perlukan jatidiri yang diambil oleh keindahan Sunnah yang tinggi nilai ilmiah, budi dan luhurnya ketika umat tidak lagi memahami apa itu sunnah. Kita tak payah nak menghitung hari keluarnya dajjal, mencari di mana dajjal dan mencari di mana si yakjuj dan makjuj.  Biarkan mata-mata satu mereka, biarkan piramid mereka, biarkan NWO mereka. 

Umat Islam hari ini memerlukan suntikan aqidah yang jelas, kerana dengan Umat Islam memahami aqidah islam seperti kefahaman golongan al-Salafussoleh sahaja, bisa menggoncang dunia sesat illuminati dan yang seangkatan dengan mereka walaupun kekuatan persenjataan mereka lebih kuat dari kita. Umat Islam perlu dijauhi dengan penyakit al-Wahn. Hiburan yang berlebihan ini punya umat hilang jati diri. Kerja kita semua, ialah menyatukan semula Umat Islam di bawah lembayung aqidah yang mantap, menebarkan sunnah kepada mereka kerana ini adalah senjata ampuh untuk melawan musuh.
sumber JEJAKI TINGGALAN RASUL BLOG

No comments:

Post a Comment