May 31, 2011

Hingga Akhir Nanti



alt

Tahukah umat Islam,setiap kita memiliki mukjizat sehingga akhir zaman? Yang dimaksudkan ialah Quran,Mukjizat terbesar daripada Allah kepada insan agung,Muhammad Saw,sebagai petunjuk baku penuh ilmu (hikmah)kepada umatnya.Ia juga membawa risalah gembira dan peringatan. Namun ramai manusia tidak mengetahuinya. Al-Quran adalah pedoman bagi manusia memahami diri,persekitaran dan juga ciptaan Allah agar mereka dipandu memahami hakikat diri,ciptaan dan alam ghaib. Ia juga mengandungi kisah kaum terdahulu dan perjuangan Rasul dan Nabi menghadapinya.
Terdapat juga prinsip syariah dan batas boleh dan larang untuk dipatuhi dan ditaati manusia. Begitu juga dengan ilmu memahami diri,diluar diri dan hubungannya dengan Pencipta dan ciptaan-Nya. Malah,Al-Quran adalah penyuluh ilmu,cara hidup dan ibadat supaya sejarah silam menjadi peringatan dan pengajaran. Al-Quran menjadi sumber pembentuk watak seperti Sayyidatina Aisyah ra terhadap Rasullulah saw yang memiliki budi pekerti Al-Quran. Memahat diri dengan rasa cinta Al-Quran dipanggil Qurani.
Watak Al-Quran bak lambang tarbiyah rabbani.Al-Quran diturunkan mempunyai pertalian dengan realiti Makkah dan Madinah.Makkah melambangkan pembangunan akidah,akhlak dan jihad.Madinah pula kepada pembangunan ukhuwah,syariah dan perlaksanaan sistemnya.
Sirah Rasullulah saw membuktikan dengan jelas bagaimana proses tanzil berjalan selama 23 tahun,membentuk watak,sahsiah dan akhlaknya. Baginda menjadi contoh terbaik untuk diikuti,sebagai rahmat kepada seluruh alam. sifat Baginda sempurna.
Meskipun sebenarnya kita tidak dapat mencapai taraf insan kamil,kita hendaklah berazam ke arah itu dengan beriman,berilmu dan beramal soleh. Akal yang menjadi anugerah besar kepada manusia yang terpandu dengan pedoman dan petunjuk daripada Allah,membolehkan status kehambaan teguh. Sebahagian besar daripada kita hari ini hanya membaca Al-Quran bertujuan mendapatkan fadilat.Tradisi khatam dan hafalan masih belum ke tahap mengkaji apakah rahmat dan hikmah di sebalik perkhabaran wahyu itu.
Inti sarinya hebat. Ia memerlukan kecenderungan dan kegigihan mengkaji yang tersirat agar bermanfaat bagi manusia.
Rasullulah saw menerima perkhabaran dari langit sebagai amanah besar dan sentiasa menghubungkannya dengan realiti khususnya dalam konteks kehidupan manusia.
Al-Quran merujuk langsung kepada apa yang berlaku di bumi,mengaitkan sejarah silam manusia seperti nabi dan rasul dengan misi sama- menyeru manusia kepada risalah tauhid.
Risalah dakwah dan tarbiyah adalah amanah asas yang perlu diamalkan sepanjang zaman bagi menimbulkan kesedaran dan keinsafan,menyakini akan keesaan dan keagungan Allah swt.
ذَٲلِكَ ٱلۡڪِتَـٰبُ لَا رَيۡبَ‌ۛ فِيهِ‌ۛ هُدً۬ى لِّلۡمُتَّقِينَ
Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yangbertakwa;
(Surah Al-Baqarah 2: Ayat 2)

Dunia Akhir Zaman

Video yang mengagumkan ini merupakan hasil daripada edit saudara brofat(blog beliau kini sudah ditutup). Video yangberlansung selama 22 minit ini, terbahagi kepada 2 bahagian. Secara keseluruhan, videoini memaparkan pembongkaran perancangan konspirasi serta fitnah yang berlaku pada akhir zaman ini. Sebagaimana dasyat atau hebatnya konspirasi mereka, tiada siapa mampu mengatasi perancangan-Nya.

Harap anda semua dapat meluangkan masa, fokus menonton video ini. Jadi, marilah kita bersedia untuk meningkatkan kesedaran dan melakukan yang terbaik untuk menyebarkan maklumat ini kepada rakan-rakan yang lain supaya mereka tahu apa sebenarnya yang berlaku pada dunia hari ini.

p/s: Segala kandungan di dalam video ini melainkan ayat Al-Quran dan Hadis, boleh jadi benar atau tidak benar. Anda disarankan untuk membaca artikel ini dahulu, Panduan Memahami Ilmu Teori Konspirasi.




    

Pemilik Rahsia Rasulullah

alt



Alkisah pada suatu hari, seorang anak kecil sedang menggembala kambing kepunyaan pembesar Quraisy, Uqbah bin Abi Mu'aith, dan telah datang kepadanya Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar r.a. yang sangat keletihan dan kehausan hinggakan bibir mereka kering. Mereka mengucapkan salam seraya berkata, "Wahai anak kecil, perahkanlah untuk kami susu kambing ini agar dahaga kami hilang dan keringat kami hilang."
"Maaf, aku tidak boleh melakukannya. Kambing ini bukan milikku. Aku hanya seorang penggembala." Jawab anak itu bersenandungkan amanah.
Rasulullah s.a.w. lalu berkata, "Tunjukkan kepadaku (1)kambing yang belum dikahwinkan." Anak kecil itu, yang digelar Ibnu Ummi Abdul, menunjukkan kepada seekor kambing kecil yang berada dekat dengannya. Rasulullah s.a.w. menghampiri kambing itu lantas memegang puting susunya dengan tangan, menyebut nama  Allah lalu meniupnya. Dan keluarlah susu kambing itu bercucuran. Ibnu Ummi Abdul, atau nama sebenarnya Abdullah ibn Mas'ud, hanya memerhati dengan penuh kehairanan.
Abu Bakar r.a. mengisi air susu itu dalam seketul batu yang berlubang lalu mereka, termasuk Abdullah, meminumnya. Selesai hajat mereka, air susu itu berhenti mengalir sebaik sahaja diarahkan oleh Rasulullah s.a.w.
"Ajarkan kepadaku kalimat yang engkau ucapkan tadi," kata Abdullah.
"Engkau anak yang terdidik," jawab Rasulullah.
Itulah permulaan kisah Abdullah ibn Mas'ud r.a. dengan Rasulullah s.a.w.. Sedari pertemuan itu, Abdullah menggauli Nabi Allah, Muhammad s.a.w. hingga akhirnya dia memilih Islam sebagai agamanya. Abdullah termasuk golongan As-Sabiqunal Awwalun, iaitu kelompok pertama yang menerima Islam. Dia kemudian menawarkan diri untuk berkhidmat kepada baginda dan jadilah dia pembantu kepada Penghulu Para Nabi.
Membesar di rumah baginda membuka peluang kepada Abdullah untuk ditunjuk ajar, belajar, dan mencontohi Rasulullah. Sejarah meriwayatkan bahawa Ibn Mas'ud adalah sahabat yang paling banyak membaca Al-Quran, paling memahami maknanya dan paling mengetahui syari'at Allah s.w.t.. Bahkan Rasulullah s.a.w. mengizinkan Abdullah masuk ke (2)rumah baginda sesuka hatinya dan menyingkap landasan rahsia baginda hinggakan dia dipanggil Sahibussir, pemilik rahsia Rasulullah s.aw..
Umar Al-Khattab pernah bercerita, suatu malam ketika dia berada di samping baginda dan Abu Bakar r.a. yang sedang bermusyawarah perihal kaum Muslimin lalu mereka beredar dari tempat itu, mereka melihat seorang lelaki yang sedang solat di dalam masjid. Rasulullah s.a.w. berdiri sejenak di situ melontarkan pandangannya terhadap lelaki itu hingga akhirnya lelaki itu menoleh kepada mereka. Bagida langsung berkata, "Siapa yang senang membaca al-Quran dengan lembut sebagaimana diturunkan, hendaklah dia membacanya seperti bacaan Ibnu Ummi Abdul." Ketika Ibnu Mas'ud duduk berdoa, Rasulullah s.a.w. melanjutkan kata-katanya, "Mintalah, engkau akan diberikan-Nya. Mintalah, engkau akan diberikan-Nya."
Umar r.a. lalu berkata dalam hatinya, "Demi Allah, esok aku akan menemui Ibnu Mas'ud dan memberitahunya bahawa Rasulullah s.a.w. mengaminkan doanya." Adapun keesokan harinya, Abu Bakar r.a. telah mendahuluinya lalu berkatalah Umar r.a., "Demi Allah, Abu Bakar selalu mendahuluiku dalam kebaikan." Umar r.a. telah menyifatkan Ibnu Mas'ud sebagai dana ilmu dan mengangkatnya sebagai kadi Kufah pada zaman pemerintahannya.
Ibnu Mas'ud, sahabat yang dimuliakan Rasulullah, mempunyai pengalaman dalam dua hijrah – ke Habsyah dan ke Madinah – dan berkesempatan sembahyang berkiblatkan dua kiblat iaitu Baitulmaqdis dan Kaabah. Beliau juga pernah mengikuti semua peperangan yang disertai oleh Rasulullah. Dan dalam peperangan Badar, beliau telah memancung kepala musuh Islam paling hebat; Abu Jahal.

Nota

(1) Sesetengah penulis menyebut kambing jantan, ada pula menyebut kambing yang tidak pernah mengeluarkan susu. Wallahualam.
(2) Sesetengah buku menyebut bilik.

Melakar Cinta Allah Melalui Sahabat

alt


"Kau tahu apa itu makna uhibbuki fillah?" tanya seorang sahabat kepada saya.
"Mencintaimu kerana Allah," Ringkas jawapan saya.
Kelihatan tidak senang duduk sahabat dengan jawapan saya. Riak muka tidak puas hati lagaknya.
"Memanglah, itu direct translate. Tak semua orang faham erti itu sebenarnya. Cuma mengungkap tetapi tidak sampai jauh ke dasar hati, kerana itu setiap perkara yang dilakukan pasti ada kurangnya, hingga kadang-kadang boleh menjadi cemburu dalam berukhwah. Manusia sebegini masih keliru sebenarnya," luah sahabat dengan air muka penuh kekesalan.
Terhenti seketika kerja yang saya sedang lakukan. Berfikir tentang kata-kata sahabat sebentar tadi.
"Cemburu dalam berukhwah? Saya setuju, bahkan ada yang masih tidak mampu mentafsir ertiuhibuki fillah itu sendiri. Keliru itu benar. Realitinya kerana fitrah berkasih yang terlampau. Rasa menyayangi yang terlampau hingga ada istilah 'dia milik aku' sahaja. Astaghfirullahal azzim, mohon dijauhkan perasaan sebegini," memandang sahabat dengan penuh pengertian.
Benar, ini kisah realiti. Sebenarnya ramai yang masih keliru dengan perasaan sendiri. Fitrah manusia memang mahu menyayangi dan disayangi, tetapi berpadalah dalam berkasih dan sayang hingga timbul perasaan ingin memiliki. Mengikut ilmu psikologi, inilah yang dinamakaninnate motive.
Maknanya jangan berkasih sayang lah?
Tidak.. bukan itu yang saya maksudkan. Berkasih sayang itu perlu, tetapi berpada dan kawallah diri. Berukhwah kerana Allah semata-mata. Jadi takkan timbul isu 'dia milik aku'.
Tidak Cemburu
Orang-orang yang beriman tidak akan rasa cemburu apabila sahabat menjalin ukhwah dengan sahabat lain. Isilah hati dan nurani dengan jalan Allah kerana ukhwah ini terjadi atas kehendak Allah. Jika ada timbul rasa cemburu, muhasabah kembali kerana sungguh itu adalah bisikan syaitan yang cuba menghasut dan menggugat ukhwah yang dibina.
Siapa kita untuk memiliki? Tiada apa-apa di dunia ini adalah milik kita. Sahabat? Bukan milik kita. Justeru kenapa mahu cemburu apabila orang lain mendampingi?
Firman Allah s.w.t : "Sesungguhnya mukmin itu bersaudara." (al-Hujuraat: 10)
Dari firman ini telah jelas bahawa semua muslim itu adalah bersaudara. Tiada yang tertinggal. Kita memerlukan antara satu sama lain. Seharusnya kita perlu belajar menyayangi setiap sahabat yang berada di sekeliling kita.
Dalam Islam sudah diajar tentang ithar (melebihkan orang lain) yakni tahap ukhwah yang paling tinggi manakala berlapang dada adalah tahap ukhwah yang paling rendah.
Tapi dalam apa jua keadaan, kita harus sedar tentang makna basitah (kesederhanaan). Bila sudah sayang terlebih, segala benda jadi lain. Justeru itulah kita perlu bersederhana. Kalau mahu sayangi semua, bukan memilih-milih pula.
Nasihat ini jelas untuk saya dan semua yang mempunyai sahabat. Mungkin ini sudah terjadi atau bakal terjadi. Makanya saya mahu mengingatkan dahulu sebelum terkena pada diri sendiri atau yang lain juga.
Uhibbuki fillah, best friend, teman sejati atau apa-apa sahaja akan menjadi retorik semata-mata jika setiap perhubungan itu tidak di dasari dengan iman dan takwa. Usah tertipu dengan mainan perasaan sendiri. Perbetulkan niat kembali jika masih ada cemburu di hati.
Layanan Istimewa Untuk Semua Sahabat
Sayugia saya mahu mengingatkan kalian tentang kisah Rasulullah SAW dalam bersahabat.
Adakah para sahabat yang lain merasa cemburu dengan Abu Bakr apabila Rasulullah SAW mengatakan Abu Bakr adalah teman baiknya. Saidina Umar, Uthman, Ali dan sebagainya tidak cemburu melihat persahabatan itu kerana Rasulullah SAW melayan para sahabat yang lain juga dengan istimewa. Inilah yang perlu kita contohi bersama.
Jika kita mampu untuk memberi hadiah, belanja kawan, sentiasa saling mengingat, membantu dia, bertanya khabar kepada kawan yang seorang; beri layanan istimewa dan memasak untuk kawan seorang, kenapa tidak kepada kawan yang lain kita lakukan sebegitu rupa? Adakah Islam mengajar kita untuk membanding beza darjat?
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
"Janganlah saling mendengki, saling menipu, saling membenci, saling memutuskan hubungan dan janganlah sebagian kamu menyerobot transaksi sebagian yang lain, jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim itu saudara muslim yang lain, tidak boleh menzaliminya, membiarkannnya (tidak memberikan pertolongan kepadanya), mendustainya dan tidak boleh menghinakannya.
Taqwa itu berada di sini (beliau menunjukkan dadanya tiga kali). Cukuplah seorang (muslim) dianggap (melakukan) kejahatan karena melecehkan saudara muslimnya. Setiap muslim atas muslim lain haram darahnya, hartanya dan kehormatannya." (HR. Muslim dan Ibnu Majah)
Jadi, mari kita tajdidkan (memperbetulkan) niat kita dan banyakkan muhasabah. Mungkin selama ini kita berukhwah bukan kerana Allah tetapi atas dasar lain.. peribadi ke, minat yang sama ke, perasaan ingin memiliki ke..
Mari koreksi diri.. mari istighfar berulang-ulang kali..
"Ada tak orang rasa cemburu dengan kita. Mereka rasa takut untuk rapat sebab kita berkawan baik?" tanya sahabat lagi.
"Wallahua'lam, jika ada yang berfikiran sebegitu, mesti ada silap dia dan silap kita juga. Dalam ukhwah ini kita membina ithar tetapi kita perlukan juga basitah," tuntas saya.
Moga ini dapat menjadi renungan untuk para sahabat di luar sana. Sungguh mungkin ini juga bakal terjadi pada saya dan anda, kita tidak tahu. Jadi persiapkan diri dan bermuhasabah kembali.
Marilah kita menjalin ukhwah kerana Allah..
Untuk sahabat-sahabat saya di luar sana.. uhibbuki fillah.. harap ukhwah ini hingga ke jannah hendaknya.
Ya Allah,peliharalah ukhwah kami ini. Moga tiada hasad yang menyelirat jauh di hati yang tersirat..
Di jalan Allah,
Persahabatan ini bukan milikku dan bukan jua milikmu,
Persahabatan ini adalah perancangan daripada Allah yang mengetahui segala rahsia,
Kerana DIA lah aku mengenalimu dan kerana DIA jua telah menetapkan ukhwah itu,
Pasti terukir 1001 kenangan dan kasih sayang,
Semuanya kerana Allah,
Sungguh,
Bukan kerana selain daripada-Nya..

May 30, 2011

Dunia Jembatan Akhirat

alt


Dari Ibnu Umar ra katanya; Rasulullah SAW memegang bahuku lalu ia bersabda: "Hendaklah engkau berada dalam dunia seolah-olah engkau orang berdagang atau orang yang sedang melalui di jalan (pengembara)". Dan adalah Ibnu Umar ra berkata: "Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi; dan apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu petang. Dan gunakanlah dari sihat engkau bagi masa sakit engkau dan dari hidup engkau bagi masa mati engkau". (al-Bukhari)
Dunia adalah tempat untuk manusia beramal dalam sekian waktu yang ditentukan dan bukanlah tempat untuk bermukim, bersenang lenang sepanjang hayat kerana kedudukan seseorang itu di dunia ini adalah seperti pedagang atau pengembara yang akan pulang ke kampung halaman tempat asalnya iaitu alam akhirat yang kekal abadi.
Untuk itu, setiap amal ada waktunya di mana apabila luputnya waktu sesuatu amal sudah tentu waktu itu tidak akan berulang kembali. Oleh itu orang yang mengerti nilai waktu akan menyedari bahawa waktu itu sebenarnya adalah umurnya yang jika habisnya suatu detik waktu maka berkuranglah jangka hayatnya dan berkurang pula tempoh amalnya. Selepas itu kekecewaan dan penyesalan tidak berguna lagi.
Oleh itu seseorang yang inginkan kebahagian yang kekal abadi hendaklah memelihara waktunya daripada terbuang dengan percuma atau sebelum tiba waktu yang menghalang seperti sibuk, sakit dan sebagainya. Manusia yang mengejar dan menghabiskan masa dengan mencari "sesuatu yang tidak diciptakan oleh Allah di dunia" (kebahagiaan yang hakiki) adalah manusia yang rugi dan perbuatan yang sia-sia.
وَمَا هَـٰذِهِ ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَآ إِلَّا لَهۡوٌ۬ وَلَعِبٌ۬‌ۚ وَإِنَّ ٱلدَّارَ ٱلۡأَخِرَةَ لَهِىَ ٱلۡحَيَوَانُ‌ۚ لَوۡ ڪَانُواْ يَعۡلَمُونَ
Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat). 
(Surah Al-Ankabut 29: Ayat ke 64)
 sumber I Luv Islam.Com

Ujian Itu Rahsia Allah S.W.T.

alt


Bismillahirahmaniraheem..
Setiap manusia yang Allah cipta sentiasa akan diberi musibah,ujian atau masalah hidup didunia yang sementara ini.Tipu jika seseorang itu berkata yang dia tidak pernah ditimpa musibah. Setiap orang ada masalahnya tersendiri,Allah uji dengan berbagai-bagai ujian tetapi sebabnya adalah sama. 
Allah menguji seseorang itu kerana Allah swt mempunyai rahsianya tersendiri,sama ada Allah hendak tambah iman kita atau hendak uji sejauh mana keimanan kita. Dan kerana sesuatu ujian itulah yang membuka mata hati kita,yang mendidik kita supaya jangan mudah putus asa dalam kehidupan yang bagaikan bahtera dilautan yang penuh dengan onak duri,ujian juga dapat mematangkan kita.
Kadang-kadang kita tertanya-tanya, mempersoalkan kepada Allah swt kenapa kita diberi ujian yang berat sebegitu sekali sehingga kita terlupa pada siapa yang perlu kita mengadu segala masalah kita, pada siapa kita harus minta kembali kekuatan kita. Astagfirullah, lemahnya dan rendahnya iman kita.
Tidak redha dalam menghadapi ujian yang Allah beri terhadap kita. Jika kita anggap diri kita ditimpa musibah yang besar kita hendaklah ingat bukan kita sahaja yang mengalaminya,mungkin ada sahabat-sahabat kita @ saudara seakidah kita yang lain menghadapi musibah yang sama bahkan lebih teruk atau lebih besar dari kita.
Bukankah,Allah telah berkata dengan jelas di dalam Al-Quran yang Allah tidak akan sekali-kali menguji hambaNya diluar kemampuan hambaNya. Allah tahu kita kuat dalam menghadapi ujianNya jadi Allah berikan ujian itu ke atas diri kita. Di sini kita dapat lihat betapa sayang dan kasihnya Allah kepada kita sebagai hambaNya.
Allah menguji seseorang bukan kerana Allah benci kepada kita tetapi percayalah yang Allah sangat kasih kepada kita. Cuma kita sebagai hambaNya tidak pernah hendak bersabar dalam menghadapi ujianNya. Pasti Allah telah aturkan yang terbaik buat kita kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya.
Alihkan pandangan matamu ke arah LAUT, airnya cantik membiru dan penuh dengan ketenangan. Tetapi hanya Allah sahaja yang mengetahui rahsia di dalamnya. Begitu juga dengan kehidupan manusia, riang dan ketawa tetapi hanya Allah yang mengetahui rahsia kehidupannya. Jika rasa kecewa, alihkan pandanganmu ke arah SUNGAI, airnya tetap mengalir biarpun berjuta batu yang menghalangnya. Dan jika rasa sedih,alihkan pandanganmu ke arah LANGIT, sedarlah dan sentiasa ingatlah bahawa Allah sentiasa bersamamu.
Jadi seharusnya apa yang perlu kita lakukan? berdoalah kepada Allah, Allah lah tempat kembali segala masalah yang sering membelenggu diri kita. Jangan malu untuk merayu-rayu, meminta-minta, memohon-mohon kepada Allah swt.Selalu diingatkan yang Allah tidak pernah jemu mendengar rintihan hambaNya, Allah itu Maha Mendengar.
Dekatkanlah diri kita dengan pencipta kita yang menguasai seluruh alam, yang memegang hati-hati kita. Disamping berdoa perlulah kita berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi. Mungkin ada yang rasa diri mereka tidak kuat hendak hadapinya tetapi cubalah bangun! Usah tewas dengan hasutan syaitan, cari kembali kekuatan kita kerana kekuatan itu ada dalam diri kita masing-masing. Yakin dengan diri, kuatkan azam dan cita-cita. Usah tonjolkan kelemahan kita pada syaitan kerana syaitan tidak pernah berhenti menghasut agar kita lemah-selemahnya.
Jika rasa tidak kuat, carilah sahabat-sahabat yang sentiasa memberi kata-kata semangat kepada kita dan bukan sahabat yang menjatuhkan kita. Itulah pentingnya sahabat kerana kita tidak mungkin bisa hidup berseorangan.
Kita perlu tahu selepas ujian itu selesai, satu lagi ujian akan datang, maka bersedialah dalam menghadapi ujian yang seterusnya. Untung bagi mereka yang selalu diberi ujian tanda Allah swt sayang padanya. Semoga kita sentiasa menjadi hambaNya yang sentiasa redha atas ujian dan ketentuan Allah swt. Apa yang ditetapkan untuk kita itulah yang terbaik!
sumber iluvislam.com