Sebuah kisah dicatatkan oleh Allah s.w.t dalam al Quran untuk menjadi pelajaran untuk umat manusia sepanjang zaman. Habil dan Qabil adalah dua beradik. Mereka berdua merupakan anak kepada nabi Allah Adam a.s.
Namun mereka berdua bergaduh bukan kerana perkara dunia tetapi kerana ibadah seorang daripada mereka diterima Allah dan seorang lagi ditolak.
Pada zaman itu Allah s.w.t menentukan peraturan dalam persembahan untuk memperdekatkan diri kepada Allah. Mengikut riwayatnya jika persembahan itu diterima Allah s.w.t, akan datang api dari langit yang akan menjilatnya.
Itulah peristiwa yang berlaku kepada Qabil dan Habil. Oleh kerana Qabil mengemukan persembahan yang disebut qurban yang tidak elok, lalu qurbannya tidak diterima Allah s.w.t. Allah s.w.t menerima persembahan Habil dan menolak persembahan Qabil. Kejadian itu menyebabkan Qabil dengki kepada Habil dan membunuhnya.
Begitulah pengajaran yang boleh kita belajar disini. Kadang berlaku persaingan keji oleh kononnya satu pertubuhan dakwah terhadap pertubuhan dakwah yang lain, sanggup melakukan apa sahaja usaha untuk mematikan dan menghalang perkembangan pertubuhan yang lain.
Ia bukan kerana merebut harta dunia, tetapi dengki melihat pertubuhan lain lebih maju, berkembangan dan diberkati oleh Allah dari pertubuhnnya. Lalu ia melakukan berbagai ikhtiar untuk mensabotaj kerja-kerja dakwah yang dilakukan oleh kumpulan lain. Ini akhlak pendokong dakwah yang mewarisi akhlak datuk mereka Qabil.
Qabil sepatutnya memperbetulkan amalnya dan mengemukan amal yang berkualiti kepada Allah s.w.t supaya Allah menerima persembahannya, bukan berdengki dengan Habil dan bertindak membunuhnya.
Demikianlah sepanjang sejarah sifat orang hatinya berpenyakit, sentiasa berdengki dan berusaha memusnahkan kejayaan orang lain, bukan kembali kepada dirinya mengikhlaskan hati dan memberbaiki amalan supaya ia menjadi lebih baik dan diterima Allah.
Pengajaran yang menarik juga yang ditunjukkan dalam kisah ini ialah sikap Habil yang tidak mengikut rentak Qabil, “Kalau kamu hulur tangan untuk membunuhku, akau tidak akan menghulur tangan untuk membunuh mu”.
Kita tidak perlu menghalang dakwah orang lain untuk kita berjaya… yang betul ialah bersihkan hari daripada sebarang penyakit hasad dan perbetulkan amal kita barulah persembahan kita berkembang dan diterima Allah s.w.t.
Posted on Oktober 13, 2010 by Abdullah Zaik
No comments:
Post a Comment